Monday, February 15, 2010

Alahai TS Hassan

Bilamana kontrak Tan Sri Mohd Hassan (TSMH) tidak disambung dan nama Datuk Shamsul Azhar (DSA) dinobatkan sebagai peneraju baru Petronas, pelbagai catatan dibuat didada-dada akhbar serta menjadi tajuk utama sembang-sembang dikedai kopi, kopitiam dan coffee house tentang kehebatan TSMH. Begitu sinonimnya TSMH dengan Petronas seolah-olah TSMH itu adalah Petronas dan Petronas itu adalah TSMH. Ini mungkin bukan sesuatu yang luar biasa kerana dalan tempoh 15 tahun pimpinannya, TSMH telah mentransformasikan Petronas daripada apa yang dilihat 15 tahun dahulu dengan apa yang disebut hari ini. Dari kilang penapisan ke Petrol Station ke Hartanah, ke Twin Tower hingga ke F1, Petronas semua ada. Petronas telah meng"kaya"kan ramai individu yang semua jari tangan dan kaki tidak lagi cukup lagi untuk menghitung orang-orang kaya ini. Banyak lagi yang kaya-raya dengan syarikat-syarikat yang ada kaitan secara langsung atau tidak dengan  Petronas.

Sememangnya saya mengkagumi Petronas, kerana inilah satu-satunya syarikat minyak milik kerajaan yang saya dan anak-anak juga mempunyai saham didalamnya sebagai pembayar cukai yang begitu agresive menerokai bidang ini diluar negara. Indonesia yang mempunyai sejarah yang lebih lama dan lebih besar dalam industri ini dan mempunyai Pertamina, hanya dikenali dinegara mereka sahaja. 

Entri ini tidak sekali-kali berniat menidakkan sumbangan TSMH, jauh sekali untuk mencemburuinya. Tetapi ianya lebih kepada sebagai memberi satu perspektif lain yang perlu dilihat dan disedari oleh semua orang kerana Petronas adalah milik anda semua, tanpa menghilangkan rasa kagum terhadap TSMH.

Pada pengamatan saya, kalaupun bukan TSMH yang menerajui Petronas, Pertonas tetap boleh berjaya kerana polisi yang digarap oleh mentor kita yang paling berjaya, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun Mahathir - TMM). Tanpa jari-jemari dan sentuhan emas TMM didalam menggerakkan Petronas, Petronas mungkin tidak dikenali sehebat ini. Malah Allahyarham Tun Razak (ATR) yang terlebih dahulu mengilhamkan Petronas serta menetapkan yang setiap tidak hasil petroleum yang digali dinegara ini adalah menjadi milik penuh Petronas adalah suatu yang paling besar sumbangannya kepada negara ini. 

Tanpa polisi ini, hasil emas hitam ini akan dipecah-pecahkan kepada beberapa entiti, umpamanya ada entiti minyak di Sabah, Sarawak, Terengganu dan mungkin diKelantan. Seandainya ini yang berlaku, pastinya tidak akan ada gergasi seperti Petronas. Malah ini sebenarnya telah berlaku sebelum adanya Akta Petronas 1974. Lihatlah apa yang berlaku di Sarawak.

Dengan adanya Akta 1974, sesiapa juga yang memimpin Petronas diibaratkan sebagai meletakkan seseorang didalam kawah emas dan diminta orang yang berkenaan menggali emas berkenaan. Mungkinkah orang berkenaan akan gagal? Kalau gagal, apakah gelaran yang patut dikalungkan dileher orang yang berkenaan?

Peranan TMM dalam hal ini yang sepatutnya lebih dikagumi, lebih daripada semua orang yang lain. TMM telah menjadikan Petronas sebagai nadi yang bukan saja menggerakkan ekonomi negara, tetapi juga menjadikan Petronas sebagai agen dan lebuhraya untuk menjalinkan hubungan bermakna dengan negara-negara yang dipinggirkan oleh kuasa-kuasa besar dunia, antaranya Sudan, Iran, Chad dan Turkmenistan. TMM dengan daya intelektual anugerah Ilahi yang maha hebat telah menjadikan Petronas kuasa yang dikenali dunia dan kepada TSMH yang diletakkan sebagai nakhoda, TMM mengharapkan agar Petronas menjadi suatu entiti yang dibanggakan bukan saja oleh semua rakyat Malaysia, tetapi oleh semua kaum didunia ini yang merasakan diri mereka dipencilkan oleh kuasa-kuasa besar dunia.

Malangnya, disebalik kecemerlangan itu, Petronas dibawah pimpinan TSMH juga telah dijadikan gedung untuk melahirkan gerombolan yang dibenci oleh masyarakat, diwaktu yang sama gerombolan tersebut juga menjadikan diri mereka agen untuk membenci dan menjatuhkan kerajaan dibawah pimpinan TMM. Lihatlah apa yang berlaku pada tahun-tahun 1997 hingga 2000. Kakitangan Petronas yang mendapat durian runtuh oleh polisi yang diilhamkan oleh ATR dan digarap perkembangannya oleh TMM, telah menggunakan kekuatan ekonomi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dengan menyokong sebuah parti yang kononnya lebih Islamik sifatnya walaupun ternyata ianya suatu yang mungkar. Mereka yang didalam Pertonas yang merasakan kekayaan dunia sudah tidak mempunyai apa-apa erti lagi kerana mereka semuanya telah kaya-raya, diwaktu itu mula berkira-kira mencari tapak di akhirat dan PAS kononnya adalah satu-satunya bahtera yang boleh membawa mereka belayar ke sana. Akhirnya, disamping mengekalkan kerajaan PAS di Kelantan, mereka merobohkan kerajaan TMM di Terengganu disamping mengkoyak-rabakkan kerajaan TMM di Pahang, Selangor, Kedah dan Johor.

Wang yang mereka kutip hasil dari garapan ATR dan TMM telah akhirnya menjadi senjata makan tuan. Tanpa perlu bersuluh, semua orang dapat melihat fenomena yang begitu menjijikkan itu, tetapi pimpinan Petronas dibawah TSMH tidak dilihat bertindak membetulkan keadaan itu, kalaupun tidak dapat dibuktikan yang TSMH sendiri menyokong penyelewengan tersebut.

Peristiwa hitam itu tidak hanya berlaku ditahun 1997-2000, tetapi ianya berulang lagi pada tahun 2007-2008 bilamana harga minyak dunia melambung tinggi. Sedang rakyat dibebani masalah kenaikan harga minyak yang keterlaluan dan kerajaan pimpinan Tun Abdullah Badawi (TAB) mengambil keputusan menyongsang dengan meletakkan beban kenaikan tersebut kepada rakyat, TSMH dengan alasan takutkan kehilangan anak-buahnya kepada syarikat-syarikat minyak lain yang rakus mencari pekerja kerana mengejar keuntungan akibat kenaikan harga yang melampau, telah bertindak memberikan beberapa keistemewaan dan bonus yang keterlaluan kepada kakitangan Petronas. Bonus dan keistemewaan yang semata-mata bergantung kepada kenaikan harga minyak dunia tanpa mengambilkira produktiviti dan sumbangan langsung pekerja adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan telah membakar dengan lebih hebat lagi kemarahan rakyat kepada kerajaan. Walaupun Petronas dengan penuh bangga mengumumkan yang mereka telah menyumbang dengan begitu banyak kedalam akaun kerajaan, sepatutnya mereka  menyumbang dengan lebih banyak lagi, kalau perkiraan yang betul telah dibuat. Lebih malang lagi, kalangan mereka yang mendapat limpahan rezeki tersebut, iaitu kakitangan Petronas telah menggunakan kemewahan tersebut untuk memberikan lebih masalah kepada kerajaan TAB dan akhirnya runtuh dalam pilihanraya 2008. Tidak dinafikan kejatuhan kerajaan TAB adalah disebabkan masalah yang dicipta oleh TAB sendiri bersama kuncu-kuncunya (TAB & Co.), tetapi soal Petronas, pimpinan dan kakitangannya juga mempunyai saham yang bukan sedikit dalam menjatuhkan kerajaan TAB.

Banyak lagi yang perlu dicatatkan mengenai TSMH dan Petronas, mungkin dientri yang akan datang. Perlu dicatat, yang  TSMH telah menyebut didalam satu interview di akhbar Mingguan Malaysia yang beliau amat berbangga mempunyai kakitangan (termasuk anak beliau) diPetronas yang begitu dedikasi dan sayangkan negara, TSMH perlu juga sedar, kakitangan Pertonas mempunyai saham yang besar dalam meruntuhkan kerajaan TMM dan TAB dan cuba mengangkat Anwar Al-Jub serta Ji-Dik kepersada kuasa. Alhamdulillah, Allah SWT masih sayangkan Malaysia dan rakyatnya yang terbanyak serta menetapkan yang Dato' Seri Najib Razak sebagai orang no 1 untuk memimpin negara ini. 

Kalau TSMH dengan bangga menyatakan kakitangan Petronas sanggup berkerja ditengah laut dan dipadang pasir dengan gaji yang jauh lebih kecil dari pesaingnya demi negara, lihatlah juga berapa ramai orang yang sanggup berpindah dari sebuah syarikat minyak international yang begitu berjaya ke Petronas, adakah ini juga kerana nilai patriotik yang tinggi dan gajinya yang rendah? Atau mereka ini lari kerana kurang berjaya dan berdaya saing disyarikat antarabangsa berkenaan kerana kekangan etika kerja yang begitu tinggi kepada sebuah syarikat yang hanya bergaya dengan hasil yang dilimpahkan oleh Allah SWT kepada rakyat negara ini tetapi hanya dinikmati oleh sebahagian daripada rakyatnya. Biasa kedengaran dari mereka yang berhijrah ini kenyataan berikut, " sekarang senang buat kerja, tak penat sangat " yang memberi makna, satu kerja yang terpaksa dilaksanakan disyarikat terdahulu, kini dibahagi-bahagikan kepada beberapa orang di Petronas.

Kalau TSMH mengakui tidak segansilu untuk tinggal di rumah berkembar dua tingkat dan naik bas untuk balik kampung, berapa ramai pula kakitangan Petronas yang mempunyai beberapa buah banglo dan apartmen mewah serta sebaris kereta mewah dan eksotik untuk kegunaan ahli keluarga yang hanya kecil jumlahnya. TSMH tidak harus terperanjat jika mendapati seorang jurutera Petronas yang baru saja bekerja telah mampu membeli sebuah apartmen mewah di Kuala Lumpur untuk disewakan, diwaktu yang sama memiliki rumah mewah dimana dia bertugas. Ada juga kakitangan Petronas yang mampu membeli rumah kedua yang bernilai ratusan-ribu ringgit sedangkan individu tersebut hanyalah kakitangan bawahan dan masih muda. Kedapatan juga seorang peon di Petronas mampu memiliki beberapa lot tanah dan hampir sedozen rumah sewa setelah bersara. Banyak lagi yang "hebat-hebat" yang masih perlu didedahkan, mungkin dientri yang akan datang.

Jadi, kepada semua orang, terutamanya yang diluar Petronas dan para wartawan dan penulis, usahlah ditangisi dan terus bernostalgia dengan pemergian TSMH. Saya penuh yakin dengan wisdomnya, ilham ayahandanya sewaktu menubuhkan Petronas dan garapan magical TMM diwaktu membawa uratnadi Petronas keluar negara, keputusan DSNR untuk menyerahkan baton larian Petronas kepada DSA adalah suatu yang tepat. DSNR tentunya telah belajar daripada kesilapan yang lepas dan tidak sekali-kali membenarkan kakitangan Petronas meleburkan kerajaannya sebagaimana mereka telah memporak-perandakan kerajaan TMM dan TAB. 

DSA mestilah diberi tanggungjawab untuk mengembalikan Petronas yang sebenarnya milik rakyat negara ini dan pulangannya mestilah juga kepada rakyat, bukannya hanya kepada 30,000 kakitangan Petronas. Pelaburan sebanyak RM 10 juta sewaktu penubuhan Petronas adalah milik rakyat yang tanpa mengeluh membayar cukai setiap hari dan setiap tahun, maka mereka mempunyai saham didalamnya. Maka merekalah yang sebenarnya berhak menerima deviden atas pelaburan meraka, bukannya dibebani dengan kos hidup yang tinggi bila harga minyak naik, diwaktu yang sama, kakitangan Petronas bergaya dengan kemewahannya.

DSA juga mestilah membuktikan yang beliau juga mampu mengangkat Petronas lebih jaug lagi, tanpa melupakan asanya, iaitu apetronas itu milik rakyat Malaysia dan rakyat mestilah didahulukan. kakitangan Petronas berhak keatasnya sebagai pekerja, sama seperti pekerja GLC yang lain. DSA hendaklah sehabis-habisan membenteras anai-anai didalam Petronas yang mengorek dan meruntuhkan Pertonas yang dibina oleh ATR dan TMM. Apa juga racun yang perlu digunakan, gunakanlah. Jangan tinggalkan walau seekor, tambahlagi membiarkan "permaisuri"nya terus bernyawa.  

Diungkapkan sekali lagi, bukannya saya tidak terasa kehilangan TSMH, kerana saya juga hilang dahaga dek tempias kekayaan yang dimiliki oleh Petronas, tetapi saya insaf ada insan yang lain yang lebih berhak keatasnya. Rakyat Malaysia berhak keatasnya. Malah yang paling berhak atas semua ini adalah kerajaan yang ditungjangi oleh UMNO kerana pimpinan merekalah yang menubuhkan Petronas. Kerajaan UMNO berhak untuk terus tegak berdiri dan Petronas bertanggungjawab memberi baja kepadanya, bukannya menjadi anai-anai yang meruntuhkannya.

Doa saya agar DSA insaf dengan keadaan ini dan mengambil tindakan tepat memperbetulkannya. 
Sekalung TAHNIAH kepada DSNR dan DSA. Dirgahayu TDMH. Kalian semuanya adalah Permata di Pelimbahan.

No comments:

Post a Comment